Jom jadi Follower

Thursday 27 September 2012

INFO : 15 minit pecah masuk 3 rumah



KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 15 minit, tiga penghuni rumah di Jalan Ipoh, di sini, kerugian lebih RM100,000 selepas disamun enam lelaki bersenjatakan parang dan penyembur lada yang memecah masuk rumah mereka, malam kelmarin.
Kejadian jam 8.30 malam itu berlaku ketika semua penghuni rumah berkenaan beristirahat sambil menonton televisyen.

Menurut sumber, mangsa rumah pertama yang berusia 45 tahun memberitahu keenam-enam lelaki terbabit memakai topeng dan memasuki tiga rumah berkenaan serentak.
“Seorang daripada lelaki terbabit masuk ke rumah mangsa pertama dan mengacukan parang manakala seorang lagi rakannya meluru ke dalam bilik tidur di tingkat atas sebelum membawa lari barang berharga.

“Empat anggota kumpulan terbabit pula berpecah ke dua lagi rumah yang juga jiran mangsa sebelum menggeledah seluruh rumah itu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa menurut arahan mereka kerana bimbang disembur menggunakan penyembur lada.

Katanya, semua penghuni rumah kedua dan ketiga diarahkan masuk dalam tandas sebelum empat lelaki terbabit mengurung mereka.

“Mereka membawa lari pelbagai barang berharga milik mangsa termasuk barang kemas, berlian, telefon bimbit, komputer riba, kamera digital, beg tangan berisi dokumen pengenalan diri, kad bank, jam tangan dan cermin mata berjenama,” katanya.
Katanya, berdasarkan dialek pertuturan keenam-enam suspek berkenaan, kumpulan lelaki terbabit dipercayai warga tempatan.

“Mereka mengambil masa 15 minit untuk menyamun ketiga-tiga rumah teres dua tingkat yang terletak bersebelahan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenisnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis masih memburu anggota kumpulan terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/24
sumber : harian metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...